AnwarSemasa

PM Anwar arah guna kembali bahasa kebangsaan ketika berurusan dengan kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengingatkan semua pihak agar kembali menggunakan bahasa kebangsaan sewaktu berurusan dengan kerajaan.

Berucap di pentas Karnival Dekad Bahasa dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya, beliau menegaskan arahan itu termasuklah urusan menerusi surat.

“Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa,” ujarnya.

Turut hadir pada acara itu adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada masa ini banyak pihak dilihat terpesong daripada asas Perlembangaan apabila tidak menggunakan bahasa Kebangsaan.

Tambahnya, dalam keghairahan meneroka alam pemikiran baharu, mencetus idea mengikut perkembangan transformasi digital, ia harus dikuasai secara bijaksana dengan mengimbangi penguasaan pelbagai bahasa dan kecanggihan teknologi.

“Jangan keghairahan kita membuat penerokaan baharu dan menggapai langit, kita tinggalkan landasan akar bumi kita,” katanya sambil menyatakan harapan agar segenap lapisan masyarakat sentiasa ‘mengakar bumi’ dengan mengutamakan bahasa kebangsaan.

Sementara itu perdana menteri menggesa agar budaya membaca dikalangan rakyat negara ini dipupuk sejak awal usia.

Budaya membaca jelasnya akan dapat meningkatkan penguasaan ilmu dalam semua bidang.

“Kalau tidak, kita jadi intelektual picisan, hanya pencatat dan penukil sahaja, pilih satu atau dua (petikan) dan terus lontar idea.

“Itu kadang-kadang ia mengelirukan baik dari segi isu agama atau budaya.

“Seperti mana berlaku di negara kita dan dunia pantas menghukum hanya membaca satu ayat atau mendengar satu tazkirah tanpa usaha mendalami dan melihat secara terperinci dan mendalam,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button