Semasa

Mapim berdiri teguh dibelakang PM Anwar pertahan Palestin

Kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan hak Palestin dan mengkritik tindakan hipokrit negara barat terhadap keganasan rejim Zionis dipuji Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim menyokong tindakan perdana menteri dan pihaknya serta seluruh rakyat akan berdiri teguh di belakang Anwar sekiranya Malaysia menerima ancaman dari negara barat.

“Sikap ‘double standard’ barat dalam isu Palestin sangat jelas. Jenayah perang dan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh Israel lebih 75 tahun ke atas Palestin telah didukung oleh negara Barat, terutama AS dan United Kingdom.

“Jelas negara barat bukan sahaja merestui jenayah Israel, malah membekal dana dan senjata tercanggih untuk Israel melakukan pembantaian paling kejam berterusan ke atas warga Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mapim turut menegaskan Israel merupakan pengganas sebenar selepas segala jenayah yang dilakukan ke atas Palestin.

Dalam pada itu, Mohd Azmi menzahirkan pendirian bersama kerajaan dengan memastikan kedaulatan ekonomi tidak tergugat.

Justeru Mapim turut menzahirkan sokongan terhadap cadangan Anwar yang mengambil pendekatan untuk beralih menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) kepada mata wang alternatif lain dalam perdagangan dunia.

“Sudah tiba waktunya untuk Malaysia tidak bergantung kepada negara barat.

“Malaysia harus berdaulat mempertahankan haknya untuk bersuara atas hujah prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan serta berdasarkan undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button