Global

Keadilan, keamanan lebih utama bagi rakyat Palestin berbanding peperangan – Riyad Mansour

Keadilan terhadap kesengsaraan jenayah perang yang dihadapi rakyat Palestin merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi konflik semasa dan bukannya keganasan yang berterusan.

Riyad Mansour, Pemerhati Tetap Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Negara Palestin, turut menyeru negara-negara anggota supaya mengundi untuk menghentikan keganasan terhadap rakyat yang tidak berdosa daripada berterusan.

Riyad yang pertama berucap demikian pada Sidang Khas Tergempar Ke-10 Perhimpunan Agung PBB mengenai konflik Israel-Gaza di New York, semalam.

Menurutnya, perjuangan mendapatkan keadilan dan keamanan lebih utama berbanding dendam di sebalik perang.

Beliau berkata, tidak ada apapun yang mewajarkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Jawapan kepada pembunuhan warga Israel dan Palestin bukanlah pembunuhan berterusan.

“Undilah untuk menghentikan pembunuhan, undilah untuk menghentikan kegilaan ini. Undilah untuk mengakhiri hampir tiga minggu pilih kasih dan ketidakadilan terburuk yang kita pernah lihat dalam beberapa dekad ini.

“Mengapa tiada kesanggupan untuk mengakhiri segera pembunuhan,” soalnya.

Riyad, yang juga dengan emosi menceritakan tragedi dialami banyak keluarga Palestin dalam konflik itu, menunjukkan bahawa hampir 1,000 orang Palestin dibunuh setiap hari.

“Sementara kita berkumpul di sini orang Palestin di Gaza di hujani bom. Anda bercakap sementara keluarga dibunuh, sementara hospital berhenti beroperasi, sementara kawasan-kawasan hancur, sementara orang ramai melarikan diri dari satu tempat ke tempat lain tanpa tempat selamat untuk pergi.

“Tidak ada masa untuk berduka,” katanya yang sebak, menunjukkan peningkatan jumlah kematian setiap hari.

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Dennis Francis dalam ucapan pembukaannya berkata keganasan dalam konflik Israel-Palestin harus berakhir dan gencatan senjata serta pembukaan segera dan tanpa syarat koridor bantuan kemanusian adalah penting.

Francis berkata beliau ‘sangat tertekan dan dukacita’ dengan peristiwa yang berlaku di Israel dan Palestin.

“Semua pihak yang terlibat dalam konflik ini harus mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan perlu segera membenarkan pembukaan koridor kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” katanya lagi.

Tegasnya ketika ini, bantuan sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa harus sampai kepada mereka yang memerlukan.

Bilangan kematian di pihak Palestin akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober meningkat kepada 7,028 orang, mengikut Kementerian Kesihatan Gaza semalam.

Penduduk Gaza berjumlah 2.3 juta orang semakin kehabisan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan bakar, dan konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya membawa sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan.

Related Articles

Back to top button