Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pemilihan Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa mulai 31 Januari 2024.
“Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama,” katanya.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung pagi tadi dipengerusikan Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan.
“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja ini dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” katanya.
Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.