Negeri

Perak berada di landasan tepat jadi hub pelancongan kesihatan

Perak berada di landasan tepat untuk menjadi antara hub pelancongan kesihatan berikutan pertambahan hospital swasta yang menawarkan kepakaran dalam beberapa bidang khusus.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata setakat ini terdapat tujuh hospital swasta yang beroperasi di Ipoh dan tiga hospital lagi akan siap dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, kita menjangkakan pertambahan tiga lagi hospital swasta akan siap dibina dan beroperasi dalam masa terdekat.

“Antaranya termasuklah Pusat Perubatan Sunway di Tambun, Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah yang sedang dalam pembinaan manakala Hospital Seri Botani yang baharu saja memulakan operasinya Mac lalu,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Kerajaan negeri juga mengikuti rapat perkembangan pembangunan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang sedang dibangunkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Meru Raya.

Dalam pada itu, Saarani berkata banjir yang berlaku di Perak kali ini adalah berbeza dari sebelumnya.

Saarani berkata ia bukan lagi berpunca daripada Sungai Perak yang tidak mampu menampung air hujan tetapi berkaitan sistem perparitan.

“Tetapi sekarang tidak begitu, di Sungai Perak semalam saya pergi ke Gerik, air Sungai Perak macam biasa. Cuma ada air yang turun daripada bukit begitu lebat sekali hujannya dan kandungan air yang begitu banyak, tidak dapat ditampung oleh perparitan yang sedia ada,” kata Saarani.

Pihaknya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak meneliti kaedah penyelesaian untuk menyediakan saluran bagi mengalir keluar air banjir tersebut ke Sungai Perak.

Related Articles

Back to top button