Elak gangguan bekalan beras, program SMART SBB diperkasa – Mohamad
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memperkasakan pelaksanaan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan dalam skala yang lebih besar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada proses intervensi yang sedang dilakukan kementerian untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi bagi memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dan mencukupi di negara ini.
Menurutnya, program tersebut juga bertujuan memastikan gangguan bekalan beras ekoran berikutan isu global yang melanda di seluruh negara ketika ini tidak lagi berulang.
“Pelaksanaannya turut melibatkan Sabah dan Sarawak agar dapat menampung keperluan di dua negeri itu yang masih agak rendah pada masa ini.
“Namun, dengan pelan strategik yang telah dirancang, kita yakin pengeluaran beras di Sabah dan Sarawak bukan sahaja boleh menampung keperluan dalam negeri seterusnya membekalkan beras untuk negeri-negeri yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santai Agro Madani: Penuaian Smart Sawah Berskala Besar (SMARTSBB) Ala Sekinchan IADA Ketara-Bernas 2023 di Dewan Terbuka Kampung Gerai di Jerteh, hari ini.
Ketika ini, terdapat 22 orang pesawah yang terlibat dalam projek rintis SMART SBB Ala Sekinchan IADA Ketara-Bernas 2023 di kawasan tersebut.
Sejak dimulakan pada penghujung tahun 2021, SMART SBB Ala Sekinchan kini sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.
Mohamad berkata, selain Sabah dan Sarawak, beberapa negeri lain seperti Pahang dan Johor juga mengamalkan kaedah penanaman padi yang moden untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran beras yang berkualiti tinggi.
Katanya, kementerian juga memberi fokus kepada jadual penanaman padi di negeri-negeri Pantai Timur untuk membolehkan pesawah dapat menuai padi sebelum tibanya musim tengkujuh sekaligus mengelakkan berlakunya kerugian yang besar.