Nasional

Kertas putih dasar gaji progresif dibentang akhir bulan depan – Menteri Ekonomi

Kerajaan Perpaduan akan membentangkan kertas putih cadangan pelaksanaan dasar gaji progresif di Dewan Rakyat pada 30 Nov ini bagi memperincikan aspek asas dan mekanisme dasar itu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pembentangan kertas putih itu bertujuan untuk mendapat penglibatan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan, bukan sahaja Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi juga rakyat dan majikan.

“Ini adalah satu perkara yang betul-betul mencabar dan kita perlu rancang dengan teratur supaya kita boleh mula bangunkan satu kerangka dasar gaji yang membantu kita untuk mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja untuk mencapai 45 peratus dari KDNK (keluaran dalam negara kasar) dalam tempoh 10 tahun.

“Kita sekarang ini berada pada 32 peratus sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Negara semalam.

Rafizi sementara itu berkata dana untuk projek rintis bagi menjayakan dasar tersebut yang melibatkan sektor swasta telah diletakkan di bawah peruntukan untuk kementeriannya.

“Kerajaan memahami pelaksanaan gaji progresif adalah langkah berani yang akan membawa kesan besar kepada ekonomi dan rakyat kerana ini kali pertama kerajaan akan campur tangan secara terus untuk meningkatkan gaji sektor swasta.

“Maka, keputusan yang dibuat ialah pelaksanaannya perlu melibatkan kesemua pihak dan digerakkan sebagai langkah bersama satu negara,” jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak campur tangan dan dasar tersebut tidak dilaksanakan, dibimbangi rakyat tidak dapat menikmati limpahan ekonomi yang dijana negara.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan sasaran 45 peratus untuk kita capai dalam tempoh 10 tahun, dan insya-ALLAH salah satu kaedah utama ke arah itu ialah dengan melaksanakan dasar gaji progresif,” katanya.

Dasar gaji progresif adalah salah satu daripada beberapa mekanisme yang dirancang kerajaan untuk diperkenalkan bagi meningkatkan taraf hidup orang ramai dan menangani isu kos sara hidup.

Related Articles

Back to top button