PM Anwar terima kunjungan hormat Penasihat Negara China
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong mengadakan perbincangan mengenai isu semasa dan antarabangsa terutamanya berkaitan aspek keselamatan yang memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara.
Melalui hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata platformtersebut merupakan peluang untuk kedua-dua negara mengukuhkan hubungan dalam mendepani cabaran hal keselamatan Asia dan juga dunia.
“Sementelahan, tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan.
“Justeru, dalam kesempatan pertemuan hari ini juga, saya turut mengutuskan surat jemputan kepada Presiden China Xi Jinping untuk mengunjungi Malaysia tahun hadapan sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara itu,” jelas Anwar.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Wang Xiaohong di Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin meluangkan masa selama sejam untuk saling bertukar-tukar pandangan.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Wang Xiaohong dan delegasinya yang tiba ke Malaysia semalam dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Saifuddin Nasution serta akan ke Melaka sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Malaysia.
Sementara itu Anwar berharap lebih banyak peluang kerjasama antara Malaysia-China dapat dipertingkatkan selepas ini demi manfaat kedua-dua negara.