KPDN umum berita gembira untuk pengusaha Menu Rahmah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Khamis mengumumkan berita gembira kepada peniaga yang menyertai program Menu Rahmah.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali melalui satu kenyataan berkata sebanyak 5,000 jenis barangan dijual pada harga hingga 40% lebih rendah kepada pengusaha yang memegang kad diskaun khas.
Beliau berkata tawaran harga istimewa itu melibatkan enam pasar raya iaitu AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.
“Antara barangan ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah yang diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu Rahmah,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata permohonan bagi kadcdiskaun khas itu dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.
“Antara syarat permohonan adalah warganegara Malaysia; telah berdaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah KPDN; dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.
Menu Rahmah ialah satu inisiatif yang ditubuhkan oleh kerajaan Anwar Ibrahim melalui bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada awal tahun 2023.
Hidangan ini, berupakan set hidangan seimbang dengan harga dibawah RM5 dilancarkan dan disediakan di restoran-restoran seluruh negara sebagai respon kerajaan terhadap masalah kos hidangan makanan yang tinggi berikutan krisis ekonomi semasa.
April lalu, FMT melaporkan harapan peniaga program Menu Rahmah yang menjual hidangan pada harga RM5 dibantu dengan pemberian insentif seperti pembelian bahan mentah.