Sukan

JuniorGP 2023: Danial, Hakim tamatkan saingan dalam 20 kelompok terbaik

Dua pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril dan Hakim Danish Ramli menamatkan Kejuaraan JuniorGP Dunia 2023 dengan berada di kedudukan yang positif.

Danial Syahmi yang beraksi dalam kelas JuniorGP melabuhkan tirai musim 2023 dengan berada di kedudukan ke-20 keseluruhan.

Pada saingan di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol hujung minggu lalu, Danial menamatkan saingan pada tempat ke-22 pada Perlumbaan 1 dan kedudukan ke-15 pada Perlumbaan 2

“Pada perlumbaan 2, saya mulakan perlumbaan dari petak ke-20 dan tamat di tempat ke-15. Ketika perlumbaan saya bergelut untuk kekal berada dalam kelompok pelumba dan saya kurang yakin dengan jentera.

“Juga keadaan angin yang kuat. Saya cuba untuk terus berusaha, tetapi saya lakukan banyak kesilapan. Saya berikan yang terbaik dan berjaya mendapat satu mata yang bermakna bagi saya kerana ini adalah perlumbaan akhir saya di Eropah pada tahun ini dan ini adalah perlumbaan akhir untuk Kejohanan JuniorGP,” katanya.

Sementara itu, Hakim Danish pula melengkapkan kempen 2023 dengan berada di kedudukan ke-17 daripada 33 pelumba keseluruhan dalam kelas European Talent Cup (ETC).

BACA: Hafizh Syahrin alih fokus ke ARRC musim depan

Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 untuk meraih enam mata.

“Awal perlumbaan agak sukar bagi saya kerana kelompok di hadapan agak laju tetapi saya dapat kekalkan momentum saya sehingga garisan penamat. Saya menganalisa semula perlumbaan dan mendapati kelajuan saya sama seperti pelumba di kelompok hadapan cuma saya ketinggalan di awal perlumbaan.

“Saya tamatkan musim ini di kedudukan ke-17 keseluruhan. Pada awal musim di Estoril, saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan berada di podium. Saya agak kompetitif di awal musim tetapi kurang sedikit ketika di pertengahan musim.

“Pada perlumbaan terakhir saya, saya berjaya mendapatkan rentak yang lebih baik dan saya akan berusaha dan perbaiki lagi untuk masa akan datang,” kata juara Asean Telent Cup 2022 itu.

Related Articles

Back to top button