Hasil Cukai Keuntungan Modal dianggar RM800 juta setahun kepada kerajaan – MOF
Hasil daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dijangka bermula 1 Mac 2024 dianggarkan sekitar RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham beberapa tahun terkini, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, MOF berkata CGT hanya akan dikenakan kepada pelupus saham tidak tersenarai yang terdiri daripada syarikat, perkongsian liabiliti terhad, koperasi dan badan amanah, sama ada entiti tempatan ataupun asing yang merupakan pemegang saham di dalam sesuatu syarikat.
“Bagi tujuan ini, pindaan perundangan yang terlibat sedang dilaksanakan.
“Garis panduan akan turut dikeluarkan bagi memberi penerangan yang lebih jelas berkaitan pelaksanaan CGT,” kata MOF.
Menurut kementerian, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan CGT ke atas saham tersenarai adalah bagi memastikan pasaran modal terus berkembang bagi syarikat-syarikat tersenarai sedia ada dan selari dengan usaha untuk mengekalkan keyakinan pelabur.
“Langkah ini juga akan dapat meningkatkan tahap daya saing pasaran modal negara di peringkat global,” kata kementerian menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya).
MOF berkata setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh, kerajaan berpandangan langkah awal melaksanakan CGT dengan tumpuan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai dalam syarikat tempatan oleh pembayar cukai selain individu adalah wajar.
Antara pemegang taruh yang turut memberikan maklum balas adalah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (Miba)
“Langkah ini adalah selari dengan hala tuju mempermudah serta menambah baik aspek pentadbiran cukai, di samping sebagai salah satu usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil pendapatan negara,” katanya. – Bernama