Fahmi minta pengendali aplikasi selesai segera aduan hantaran pro-Palestin diturunkan
Satu pertemuan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan wakil penyedia platform media sosial TikTok dan Meta diadakan pada Khamis.
Menteri KKD, Fahmi Fadzil dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, pertemuan itu bagi membincangkan isu melibatkan kawal selia kandungan.
Antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah isu kandungan berkaitan Palestin yang diturunkan daripada TikTok.
Perbincangan mengenai kegiatan judi dalam talian dan strategi coordinated inauthentic behaviour (CIB – tingkah laku tidak tulen terselaras) dalam platform media sosial juga antara isu yang dibangkitkan.
“Dalam perbincangan itu beberapa aduan dan isu utama melibatkan dua platform telah saya bangkitkan dan minta TikTok serta Meta untuk mengambil tindakan segera.
“TikTok dan Meta beri komitmen untuk beri kerjasama lebih rapat dan erat untuk selesaikan isu-isu yang berbangkit,” katanya.
BACA LAGI: Fahmi panggil TikTok, susulan dakwaan sekat kandungan berkaitan Palestin
Fahmi ketika menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena pada 24 Oktober lalu memaklumkan mendapat aduan pengguna bahawa penyedia platform media sosial TikTok secara sistematik menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.
Susulan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat teguran keras kepada TikTok dan Meta selain mengaturkan pertemuan dengan penyedia platform media sosial itu untuk berbincang mengenai isu berkenaan.