AMK Perak buat laporan polis terhadap Peja
AMK Perak nasihatkan Timbalan Presiden Bersatu itu untuk menerima kekalahan di Tambun |
ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK)
Perak memfailkan satu laporan polis terhadap Timbalan Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Ahmad Faizal Azumu yang didakwa
membuat kenyataan biadap terhadap Perdana Menteri.
Ketua AMK
Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan Ahmad Faizal pada
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ahad lalu dianggap angkuh dan tidak
wajar sama sekali selain menjejaskan kredibiliti Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
“Kami merasakan ucapan Peja ketika itu sangat biadap
dan angkuh. Sudahlah, cukup-cukuplah, terimalah kekalahan di Tambun
(pada Pilihan Raya Umum Ke-15).
“Sekarang kita fokus untuk
membina sebuah negara yang lebih baik di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar
Ibrahim di bawah konsep Malaysia Madani,” katanya ketika ditemui
pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Ipoh semalam.
Terdahulu, Zaim Sidqi menunjukkan kepada
media klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan Ahmad Faizal sedang
berucap pada perhimpunan itu.
Dalam ucapannya, Ahmad Faizal secara sinis menyebut Anwar yang menang di Tambun pada PRU-15 sebagai penipu.
Sementara
itu menurut Zaim Sidqi, laporan polis tersebut dibuat supaya pihak
berkuasa dapat menjalankan siasatan berhubung kenyataan yang bukan
sahaja boleh menimbulkan kekacauan itu.
Malah beliau turut menegaskan, Ahmad Faizal juga perlu bertanggungjawab atas kenyataan yang dilemparkannya itu.
“AMK
Perak berharap agar rakyat dapat menolak parti yang mengamal politik
fitnah sebagai senjata kerana jelas itulah kualiti yang ada pada
Timbalan Presiden Bersatu yang ketandusan idea dan hanya berniat jahat
untuk menimbulkan kekacauan dan meraih laba politik,” katanya dipetik.