Nasional
Peniaga kecil diseru daftar SSM untuk kekal nikmati subsidi
GOLONGAN peniaga kecil disaran mendaftar perniagaan mereka dan mengambil memanfaatkan dari Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Peniaga kecil disaran daftar SSM agar tak tercicir |
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata langkah mendaftarkan perniagaan itu penting bagi memastikan mereka terus layak menikmati subsidi minyak masak bersasar sejurus inisiatif itu dilaksanakan kelak.
“Kita kena ada mekanisme atau sistem pemberian subsidi itu, kerana menjadi tugas kerajaan untuk pastikan tiada ketirisan selain bantu golongan yang memerlukan.
“Itu (daftar syarikat) akan dijadikan salah satu syarat kerana kita perlu pastikan mereka berniaga dan perlu mendaftar sebagai perniagaan yang terlibat dengan makanan…ini bertujuan memastikan subsidi sampai kepada yang betul-betul layak,” katanya.
Fuziah sebelumnya hadir merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2023 Peringkat Pahang anjuran SSM di Kuantan pada Khamis.
SPPP diperkenalkan SSM bagi memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan B40, pelajar institut pengajian tinggi sepenuh masa dan orang kurang upaya (OKU).
Sehingga 30 April lepas jumlah pendaftaran SPPP adalah sebanyak 65,755 dan SSM jelas Fuziah masih mempunyai baki RM6 juta dana untuk melaksanakan skim tersebut.
Mengulas lanjut mengenai subsidi bersasar, Fuziah berkata kementeriannya sedang mengadakan libat urus dengan beberapa pihak sebelum memuktamadkan cara pelaksanaannya.
“Ada banyak subsidi yang sedang diuruskan, KPDN kini bekerjasama dengan MOF (Kementerian Kewangan) antaranya melihat soal ketirisan dan antara fokus utama kami pada subsidi diesel kemudian beberapa lagi antaranya minyak masak…perlu tengok macam mana kita nak sasarkan,” katanya.