Sukan

Hannah ucap tahniah kepada Mohd Azizulhasni

MENTERI BELIA DAN SUKAN Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Mohd Azizulhasni cipta legasi sendiri

Ia susulan kejayaan Mohd Azizulhasni yang menghadiahkan kilauan emas berganda pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai.

Hannah berkata beliau akan memastikan mesyuarat dengan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang berlangsung hari ini membincangkan aspek keperluan yang diperlukan Mohd Azizulhasni untuk memastikan kejayaannya terus dapat dicapai, di peringkat antarabangsa.

“Saya ucap tahniah kepada Azizulhasni menang emas dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kejayaan di ACC) dan esok semasa mesyuarat RTG kita lihat bagaimana boleh tingkatkan lagi sokongan buat kedua-dua atlet itu,” katanya.

Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman merangkul gelaran keirin lelaki dengan mengenepikan cabaran getir tiga pelumba Jepun, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan beliau mencipta legasi sendiri untuk meraih pingat emas ke-12 di ACC, selain menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali bergelar ‘Raja Keirin Asia’, selepas edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Mohd Azizulhasni turut meraih kejuaraan acara pecut elit lelaki buat kali ketujuh pada Jumaat lepas (16 Jun), selepas edisi 2008, 2009, 2014, 2017, 2019 dan 2020.

Sementara itu menurut Hannah mesyuarat RTG dijadualkan hari ini turut akan membincangkan keperluan dan bentuk sokongan yang diperlukan kesemua 15 atlet yang tersenarai dalam RTG.

Atlet yang terlibat selain Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah ialah jaguh badminton negara, Lee Zii Jia serta empat pasangan atlet badminton iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi (beregu lelaki), Pearly Tan dan M Thinaah (beregu wanita), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing (beregu campuran) serta Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie (beregu campuran).

Turut tersenarai, atlet akuatik terjun Datuk Pandalela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button