Semasa

31 laporan polis dibuat terhadap Sanusi – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah itu sudah pun dibuka kelmarin, menjurus siasatan berkaitan isu 3R iaitu membabitkan agama, bangsa, institusi diraja.

“Setakat jam 11 pagi ini (Jumaat), kita sudah terima 31 laporan polis.

“Siasatan dijalankan pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R, iaitu berkait agama, kaum dan institusi diraja,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurutnya, awal pagi tadi polis telah selesai merakam keterangan Sanusi yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Proses rakam percakapan berlangsung jam 2 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara dengan proses dijalankan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kita buka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” jelasnya.

Terdahulu, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melantik Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sikap ‘bermuka-muka’ Muhammad Sanusi itu membuktikan beliau tidak menghormati institusi raja Melayu yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di negara ini.

Related Articles

Back to top button