Hina Institusi Diraja: Sanusi bakal didakwa dengan dua pertuduhan esok, kata laporan
KETUA PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Selayang pada Selasa.
Ia bagi berdepan dua pertuduhan berhubung kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.
Semakan laman mahkamah mendapati proses pertuduhan Muhammad Sanusi Md Nor akan dijalankan di Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang, di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd.
Sementara itu berita Harian dalam laporannya petang tadi mengukuhkan dakwaan pemimpin Pas itu akan didakwa susulan ketiadaanya di Kedah.
Sumber dipetik laporan itu berkata Muhammad Sanusi sudah berangkat ke Kuala Lumpur untuk urusan rasmi dan hanya dijangka kembali ke Kedah petang esok.
“Menteri Besar tidak ada di Kedah hari ini. Tadi berangkat ke Kuala Lumpur. Esok petang baru balik (ke Kedah),” kata sumber tersebut.
Muhammad Sanusi baru-baru ini mencipta kontroversi baharu apabila membuat kenyataan yang kandungannya didakwa meremehkan baginda Sultan Selangor berkenaan urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ucapan pada satu siri ceramah PN di Selayang itu telah dimuat naik di banyak saluran media sosial YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter sehingga mencetus rasa kurang senang banyak pihak terutama rakyat Selangor.
Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk dari pihak ahli Dewan Diraja Selangor yang mendesak Menteri Besar Kedah itu disiasat dan diambil tindakan tegas.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melalui satu kenyataan ringkas di laman Facebook Selangor Royal Office pada petang Isnin menitahkan isu Sanusi belum selesai walaupun dia telah membuat permohonan ampun dari baginda.
BACA: ‘Isu Sanusi belum selesai’ – Sultan Selangor
Titah itu menyusul selepas baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, YDH CP Dato’ Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.