Peruntukan tambahan bukti PM perihatin masalah air di Sabah – Hajiji
Kerajaan negeri mengalu-alukan peruntukan tambahan untuk menyelesaikan masalah air di Sabah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata peruntukan itu akan dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi Sabah ketika ini.
Lebih penting jelasnya, ia telah menunjukkan komitmen dan keperihatinan Perdana Menteri dalam mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Pengumuman ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan benar-benar prihatin terhadap Sabah kerana peruntukan itu adalah tambahan kepada RM320 juta yang diluluskan Perdana Menteri untuk kita pada 1 Jun tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada Khamis mengumumkan peruntukkan tambahan berjumlah RM800 juta untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah dan Kelantan dalam usaha memastikan penduduk di dua negeri itu mempunyai akses kepada bekalan air bersih yang konsisten dan berkualiti
Mengulas lanjut Hajiji berkata, pembiayaan itu juga akan mempercepatkan tindakan semasa yang sedang dilaksanakan bagi menangani masalah air.
“Ini adalah berita baik kerana perancangan sudah dibuat untuk tindakan serta tempoh mada bagi memastikan Jabatan Air dapat menyelesaikan isu air di negeri ini,” katanya.
.