PM Anwar iringi perarakan calon BN-PH di Gombak
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ribuan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengiringi tiga calon dari parti komponen Kerajaan Perpaduan yang bertanding di bawah Parlimen Gombak.
Anwar yang juga Pengerusi PH tiba jam 8.50 pagi, dilihat berarak seiringan bersama tiga calon iaitu Amirudin Shari (Sungai Tua), Megat Zulkarnain Omardin (Gombak Setia) dan Juwairiya Zulkifli (Hulu Kelang).
Perarakan yang bermula dari Jambatan Sungai Chinchin hingga ke pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di Kuala Lumpur turut sertai barisan pimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Turut memberikan sokongan Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, Ketua Penerangan PH, Fahmi Fadzil, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor.
Dihiasi panji logo PH dan BN, pemimpin-pemimpin bersama penyokong parti berjalan sambil melaungkan slogan “kerajaan perpaduan” yang bergema sepanjang kira-kira satu kilometer perjalanan yang memakan masa kira-kira 20 minit itu.
Sejurus tiba di luar pusat penamaan calon, Perdana Menteri melaungkan ‘reformasi’ sebelum meninggalkan kawasan itu.
Amirudin, Menteri Besar Selangor dijangka berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin manakala Megat Zulkarnain mencabar penyandang kerusi, Muhammad Hilman Idham.
Juwairiya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR bertembung dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menyertai Bersatu susulan ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.