Subsidi tambang dan kos haji diberikan jika PH-BN terus mentadbir Selangor
Kerajaan Perpaduan Selangor menawarkan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000.
Menurut Menteri Besar Selangor, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri, Datuk Seri Amirudin Shari, tawaran itu akan ditunaikan sekiranya PH dan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Subsidi berkenaan jelasnya akan diberikan kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama untuk menyempurnakan ibadah tersebut.
“Ia terkandung dalam ‘Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ di bawah kerangka agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor.
“Selain itu, turut ditawarkan dana guaman syariah yang ditingkatkan bagi membantu golongan wanita yang memerlukan dengan dana tambahan RM3 juta.
“Tawaran ‘Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ meliputi ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi; agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor; serta perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien,” katanya.
Amirudin malam tadi melancarkan ‘Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Tawaran itu termasuk pembangunan mampan, selesa, dan berdaya huni serta Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat.