PRN: Wanita Perpaduan mampu raih 100 peratus kemenangan – Fadhlina
Wanita Pakatan Harapan (PH) optimis semua calon wanita gabungan Perpaduan mampu meraih kemenangan 100 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.
Timbalan Ketuanya, Fadhlina Sidek pada program Ceramah Kelompok PH-BH di Kuala Selangor berkata, terdapat peningkatan sokongan positif dalam kalangan pengundi terhadap calon wanita PH dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Sokongan meningkat itu berikutan kesemua calon dipertaruhkan gabungan itu berpotensi menang meskipun berdepan saingan sengit.
“Semua calon kita yang masuk dalam pilihan raya ini tujuannya untuk menang dan yakin mereka mampu menawan hati pengundi
“Semua (kerusi ditandingi calon wanita Perpaduan) yang masuk (dalam PRN) di enam negeri mesti menang semua dan tak boleh (kurang daripada itu),” katanya.
Tambah Fadhlina, aspek persiapan turut menunjukkan bahawa calon wanita yang bertanding sudah cukup bersedia.
“Persiapan jentera amat baik dan kita dapat melihat PH dan BN bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan. Perkembangan ini yang melegakan saya dan InsyaAllah kemenangan berpihak kepada kita nanti,”tambahnya lagi.