Semasa

HSR diteruskan, cadangan baharu akan dikemuka kepada Singapura – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat malam mengumumkan bahawa Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Datuk Seri Anwar ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2023 di Pusat Persidangan dan Acara Connexion di Kuala Lumpur berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Singapura selepas dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Baru di peringkat kita (perbincangan peringkat kementerian).

“Sebaik sahaja ada keputusan awal, barulah, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) akan membawanya kepada perhatian Singapura,” katanya .

Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat sebelum ini dilapor media sebagai berkata, mereka bersedia untuk membincangkan pelaksanaan projek itu dengan Malaysia.

Pada 12 Julai lalu, Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman memaklumkan kerajaan telah memberi mandat kepada MyHSR bagi melaksanakan semula projek yang tertangguh itu.

Ia akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan.

Fauzi berkata, projek HSR KL-Singapura itu akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam meningkatkan dan mengembangkan ekonomi dari Lembah Klang ke koridor selatan semenanjung dan akhirnya ke seluruh negara.

Selain memacu pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara, ia akan membantu mengubah Malaysia dari segi ekonomi, serta memantapkan lagi daya saing negara.

Related Articles

Back to top button