ekonomi

Dasar gaji progresif bersifat sukarela, berteraskan insentif produktiviti – PM Anwar

Dasar gaji progresif yang bakal diperkenalkan adalah bersifat sukarela, selain berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti, jelas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, model dasar ini diusulkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.

Katanya, sesi libat urus dan tinjauan awal mendapati 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan dasar gaji progresif dengan ciri yang dinyatakan.

“…dan Mten berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin. Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan
untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini membentangkan Kertas Dasar Gaji Progresif kepada MTEN.

Dalam ciapannya di Twitter pada Ahad berkata, langkah itu adalah permulaan usaha kerajaan menaikkan gaji rakyat dan jika usaha itu berjaya dilaksanakan gaji diterima golongan itu dijangka meningkat dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

Sementara itu Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, dasar gaji tersebut antara reformasi pasaran pekerja memastikan golongan itu tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan menikmati gaji bermaruah.

Katanya, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lalu menunjukkan lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan,” katanya.

Justeru, beliau berkata MTEN melihat dasar gaji progresif sebagai anjakan memulihkan pasaran pekerja supaya gaji ditingkatkan secara “konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang”.

Related Articles

Back to top button