Kedah nikmati lebih banyak faedah jika ‘kalih sama’ dengan kerajaan Persekutuan – Mahzir Khalid
Dakwaan pembangkang, kononnya kerajaan Persekutuan berubah sekiranya enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dimenangi Perikatan Nasional (PN) dianggap kenyataan yang cuba mengelirukan pengundi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana PRN hanya membabitkan kerusi DUN dan bukan kedudukan di Dewan Rakyat.
pengundi jelasnya bukan sajaha tidak wajar mempercayai kenyataan-kenyataan tersebut malah perlu melihat pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri terutama di negeri yang pentadbirannya sama di peringkat Persekutuan.
“Apa yang kerajaan Persekutuan umumkan seperti di bawah kluster ekonomi, pembangunan dan kebajikan sebenarnya sedang dilakukan, tapi kerana ia baharu bergerak dalam lapan bulan ini, kesannya tidak dapat dilihat secara keseluruhan.
“Di Kedah kalau kita dapat selarikan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, maka faedah itu dapat dirasai lebih cepat sama seperti di negeri (ditadbir Kerajaan Perpaduan) dan kita boleh laksanakan dengan lebih baik lagi.” jelasnya dalam satu sidang media bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di Bangunan Tunku di Alor Setar pada Rabu.
Dalam pada itu mengulas mengenai kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, kerajaan sudah mengambil kira kemampuan kewangan sebelum mengumumkan kenaikan itu bermula hari ini.
“Saya fikir bukan ada masalah sama ada musim pilihan raya atau di luar pada pilihan raya, sebab sesuatu yang baik untuk rakyat ini tak semestinya datang pada waktu tertentu sahaja, tapi kalau kebetulannya masa pilihan raya apa salahnya.
“Saya ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana umum satu lagi faedah yang dinikmati petani dalam penanaman padi kerana Kedah sebagai Jelapang Padi memiliki kira-kira 66,000 ketua keluarga meliputi kawasan MADA dan di luar kawasan itu,” katanya dipetik.