Semasa

Kerajaan perketat kawalan, kekang penipuan pembungkusan beras

Kerajaan akan mengetatkan kawalan bagi mengekang aktiviti penipuan melibatkan pembungkusan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seseorang individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] serta boleh dikenakan penalti.

“Manakala sesebuah syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan boleh dikenakan penalti.

“Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000,” katanya dalam kenyataan..

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video yang tular melibatkan dakwaan penipuan atau penyelewengan pembungkusan beras yang dilapor baru-baru ini.

Armizan menjelaskan, penguatkuasaan undang-undang berkaitan beras, iaitu Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Bagaimanapun, KPDN dan KPKM telah bekerjasama melalui pelaksanaan kolaborasi bersepadu Ops Jamin bermula 7 Julai 2023 bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.

“Ia bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal,” katanya.

Related Articles

Back to top button