Panduan Pasaran Modal Islam Malaysia berasaskan Maqasid Al-Syariah dilancarkan
Panduan bagi Pasaran Modal Islam Malaysia berasaskan prinsip Maqasid Al-Syariah yang baharu dilancarkan dijangka dapat merealisasi dan mengukuhkan potensi penuh pasaran modal Islam di Malaysia sekali gus memantapkan kedudukan negara ini sebagai peneraju dalam ekonomi Islam global.
Timbalan Menteri Kewangan I, Ahmad Maslan berkata, panduan itu akan menjadi penyelesaian terhadap pelbagai cabaran dan peluang dalam pasaran dengan menekankan substance berbanding bentuk.
“Kod amalan ini akan diguna pakai oleh penasihat syariah dan pemain industri berkenaan dengan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam.
“Pelancaran panduan baharu ini adalah ideal dan tepat pada masanya dan saya berharap semua pemain industri kewangan Islam menerima panduan ini dan menggunakannya untuk memartabatkan produk patuh syariah demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika melancarkan panduan itu di Persidangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-Bank Dunia di Kuala Lumpur, hari ini.
Panduan itu dibangunkan oleh SC menerusi penglibatan ahli-ahli Majlis Penasihat Syariahnya dan pelbagai pihak berkepentingan domestik dan antarabangsa serta menjadikannya penanda aras dengan pelbagai amalan terbaik antarabangsa.
Mengulas pelancaran panduan itu, Ahmad berharap panduan yang mempunyai 15 prinsip dan enam tonggak itu akan menjadi panduan rasmi sektor perbankan dan pasaran modal.
Beliau berkata, panduan yang unik itu memastikan prinsip maqasid membabitkan nyawa, agama, harta dan keturunan semuanya itu terkandung dengan baiknya dalam panduan disediakan.
“Kita berharap agar ia (panduan) dapat beri jaminan lebih padu untuk rakyat dan syarikat terbabit dalam pasaran modal dan sektor perbankan Islam,” katanya.