Semasa

LKIM hulur bantuan kepada 9,000 nelayan Pantai Timur terjejas monsun

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) peruntukan RM250,000 untuk membantu lebih 9,000 nelayan Zon A di Pantai Timur yang tidak dapat ke laut susulan Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan berupa bakul makanan keperluan asas itu bagi meringankan beban nelayan yang kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh panjang.

“Nelayan Zon A telah menerima bantuan sara hidup RM300 setiap bulan, bakul makanan yang diterima diharap dapat meringankan beban mereka yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan dengan hasil laut.

“Saya difahamkan Persatuan Nelayan di Pantai Timur turut menghulurkan bantuan keperluan asas kepada ahli mereka setiap kali Monsun Timur Laut berlaku sebagai tanda prihatin terhadap ahli,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Rahmah Mesra Madani Libat Urus Bersama Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pahang serta Pemberian Bantuan Kepada Nelayan diperkarangan surau perumahan nelayan Bunut Rendang pada Khamis.

Pada program berkenaan seramai 72 nelayan Zon A menerima bantuan peralatan menangkap ikan seperti pukat, tong ikan, timah, pelampung dan dua unit enjin sangkut termasuk bakul makanan.

Muhammad Faiz sementara itu mengingatkan nelayan sentiasa berhati-hati sepanjang Monsun Timur Laut dan dinasihatkan tidak turun ke laut terutama apabila angin kencang berlaku yang menyebabkan laut bergelora.

Nelayantegasnya perlu sentiasa mendapatkan maklumat semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sekiranya ingin ke laut, berlindung di kawasan pulau sekiranya ribut berlaku ditengah laut.

“Setiap bot perlu dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan yang dapat digunakan ketika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Monsun Timur Laut dijangka berlaku pertengahan bulan November hingga Mac, dalam tempoh berkenaan nelayan Zon A dinasihatkan tidak turun ke laut. Masa berkenaan boleh digunakan untuk membaiki bot dan pukat selain aktiviti yang mampu menjana pendapatan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button