Nasional

Pemerdagangan manusia, rakyat Malaysia paling ramai terperangkap di Myanmar dan Kemboja

Kemboja, Myanmar, Laos, Filipina dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dikesan menjadi destinasi sasaran sindiket penipuan tawaran kerja dan pemerdagangan manusia dengan menjadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa penipuan mereka.

Difahamkan, terdapat ramai rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar dan Kemboja berbanding tiga negara yang lain.

Maklumat mengenai sindiket menyasarkan rakyat Malaysia dikatakan mula diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak September 2021 dan semakin aktif memerangkap mereka yang mahu mencari kerja konon bergaji lumayan di luar negara.

Mengulas perkembangan berkenaan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata trend terbaharu dikesan PDRM adalah mereka yang tertipu dengan tawaran kerja kemudian dipaksa menjadi scammer di negara luar.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan pekerjaan di luar negara melalui iklan laman media sosial dan laman web pencarian pekerjaan.

“Mereka yang menerima tawaran kerja itu sebaliknya dipaksa menjadi scammer di negara luar.

“Ini trend baharu aktiviti pemerdagangan orang yang dikesan di negara kita. Mangsa dibawa ke negara seperti Kemboja, Myanmar, Laos, Filipina dan UAE (Dubai). Yang terjebak bukan sahaja tidak dibayar gaji, malah dikurung dan turut dicederakan.

“Antara jenayahnya adalah love scam dan pelaburan palsu, juga sindiket judi dalam talian haram yang memaksa mangsa bekerja. Ada dakwaan gaji diterima tak sama seperti dijanjikan,” katanya.

Razarudin turut memaklumkan, setakat 31 Oktober lalu, PDRM mengesan 424 rakyat Malaysia, termasuk 73 wanita terperangkap di luar negara dengan 170 berada di Myanmar, Kemboja (147), Laos (54) dan lain-lain negara (53).

“Setakat ini, 321 laporan polis babit keseluruhan 424 rakyat Malaysia itu dibuat orang awam. Seramai 266 berjaya diselamatkan, 158 lagi masih terkandas. Bagi kes terperangkap di Myanmar, 119 laporan polis membabitkan 170 mangsa diterima.

“Daripada jumlah itu, 75 berjaya diselamatkan dan sudah pulang ke tanah air, manakala 95 lagi masih terkandas di negara itu,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button