Pemotongan gaji barisan Kabinet 20 peratus tetap diteruskan – PM Anwar

Pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus sebulan akan diteruskan untuk barisan Kabinet baharu.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan, di Putrajaya, hari ini.
“Pemotongan 20 peratus gaji diteruskan melainkan Perdana Menteri tiada potongan sebab tiada gaji,” katanya.
Pada 5 Disember tahun lalu, kesemua menteri kabinet bersetuju untuk melakukan potongan gaji sebanyak 20 peratus sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat.
Terdahulu, empat kementerian baharu diwujudkan merupakan pecahan daripada dua Kementerian sebelum ini iaitu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital.
NRECC dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam akan diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, ia akan diterajui Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Timbalan Menterinya Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Kementerian Komunikasi dan Digital pula menyaksikan pecahan bidang kuasa yang membentuk Kementerian Komunikasi diketuai menterinya, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Sementara, kementerian Digital pula diterajui Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo sebagai menteri bersama timbalannya Datuk Ugak Anak Kumbong yang sebelum ini Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
Rombakan itu juga menyaksikan Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan dikembalikan dengan Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai menteri di kementerian itu.
Baca lagi:



