Mantan pemimpin Pejuang selar ulasan melulu Azhar Idrus terhadap PM Anwar
Mantan Ketua Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Huddin membidas penceramah selebriti Azhar Idrus susulan ulasannya berkaitan satu kenyataan berkaitan Ashabul Kahfi yang diucap Perdana Menteri baru-baru ini.
Melalui satu perkongsian di laman sosialnya, Dr Abu Hafiz berkata beliau bimbang kenyataan Azhar Idrus itu dipengaruhi sentimen politik atau rasa tidak senang terhadap pemimpin tertentu yang akhirnya menyebabkan penceramah itu membuat ulasan tidak adil.
“Ada sesuatu yang menjadi tular apabila ucapan perdana menteri berkaitan dengan Ashabul Kahaf dan beliau ada menyebutkan perkataan ‘kritian’ merujuk kepada agama (dizaman) Ashabul Kahfi ini.
“Ada seorang ustaz mendakwa ia adalah satu perkataan yang sesat dan penuturnya juga iaitu perdana menteri ke arah itu iaitu sesat.
“Mungkin beliau tidak bersetuju dengan pandangan memanggil Ashabul Kahfi itu kristian, itu mungkin boleh dipersetujui.
“Namun jadi masalah apabila dengan mudah untuk menggelar seseorang itu atau kenyataanya sesat , ini jadi masalah lain,” jelasnya.
BACA LAGI: Pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik – PM Anwar
Sementara itu dalam hantaran lain Dr Abu Hafiz menggesa Azhar Idrus memberi ulasan secara adil dalam setiap ceramahnya agar tidak mengelirukan orang ramai.
“Janganlah disebab kebencian kamu kepada satu kaum itu menjadikan kamu zalim dan jahat terhadap mereka, berlaku adil-lah kerana itu lebih dekat kepada taqwa,” katanya memetik Surah Maidah.