Semasa

PM arah Jemaah Menteri kerap turun padang tinjau situasi semasa harga barang

Semua Jemaah Menteri diminta supaya meluangkan lebih masa turun padang meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran bagi memastikan rakyat tidak terhimpit dengan isu kos sara hidup.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua menteri pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu.

“Perdana Menteri menegaskan supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang melihat sendiri keadaan termasuk dalam isu berkaitan harga barang atau kuantiti barangan di pasaran.

“Ini susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini),” kata beliau yang juga jurucakap kerajaan melalui satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar akan pastikan 85 peratus rakyat dapat faedah

Sebelum ini tular klip video di media sosial seorang wanita menegur Anwar selepas beliau menghadiri satu program di Perlis.

Video berdurasi 22 saat itu menyaksikan wanita itu merungut kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.

Related Articles

Back to top button