Negeri

Kedatangan 3.7 juta pelancong direkodkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 sehingga 25 Mac lalu

Seramai 3.7 juta pelancong direkodkan datang ke Melaka dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Mac lepas sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata, kira-kira 60,000 hingga 70,000 kenderaan sehari dicatatkan memasuki negeri itu pada setiap hujung minggu sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tiga bulan ini.

“Kita ada lagi kira-kira sembilan bulan dan saya yakin sasaran 18.7 juta pelancong dan pengunjung sempena TMM 2024 akan dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti menarik berskala kecil dan besar yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Melaka juga banyak terpilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan program-program berskala besar menerusi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi seperti sambutan Hari Belia Negara pada Mei ini,” katanya kepada pemberita, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Kedatangan Pelancong dan Kepulangan Perantau ke Melaka di Pusat Penerangan Pelancongan di Ayer Keroh, Melaka.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, 8.63 juta pelancong direkodkan ke Melaka pada tahun lalu iaitu peningkatan 42.77 peratus berbanding 2.59 juta pelancong pada 2022.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7.37 juta orang merupakan pelancong domestik manakala 1.26 juta orang ialah pelancong asing,” katanya.

Related Articles

Back to top button