Semasa

HKL bakal dibangunkan semula secara berperingkat – Menteri Kesihatan

Pembangunan semula Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan dibuat secara berperingkat, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan perkhidmatan sedia ada di hospital berkenaan terjejas.

“Pelan ini dibahagikan kepada dua komponen iaitu perancangan pembinaan blok-blok baru dan penaiktarafan blok utama.

“Pelan ini menitikberatkan usaha pembangunan HKL secara inklusif dan menyeluruh bagi terus mengangkat kegemilangan peranan HKL sebagai hospital rujukan utama awam negara, selain memastikan HKL kekal mapan menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti dan berkesan dalam memenuhi keperluan kesihatan rakyat,” katanya

Dzulkefly turut berkata, pelaksanaan pembangunan semula itu bagi terus mengangkat peranan HKL sebagai hospital rujukan utama dan memastikan ia terus menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti dan berkesan.

Pada khamis lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada lawatannya ke HKL berkata kerajaan akan menyegerakan penambahbaikan wad kelas tiga di hospital itu.

Mengulas perkara itu Dzulkefly berkata penaiktarafan dan penyelenggaraan wad kelas ketiga akan dipercepat bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan petugas kesihatan.

Sementara itu mengulas rancangan pembangunan jangka panjang di HKL, Dzulkefly berkata fasa pertama melibatkan pembangunan semula Institut Pediatrik HKL (Hospital Tuanku Azizah 2, HTA2), fasa kedua dengan pembinaan blok surgikal manakala fasa ketiga untuk menaik taraf blok materniti.

“Buat masa ini, cadangan projek HTA2 telah diluluskan dalam Rolling Plan Keempat (RP4) 2024 untuk kerja-kerja awalan penyediaan skop projek dan anggaran kos pembangunan,” katanya lagi.

Mengenai rancangan penaiktarafan blok utama, ia jelasnya memerlukan kerja naik taraf sistem infrastruktur secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan semasa seperti sistem elektrik dan keselamatan, gas perubatan, sistem perpaipan air, lif, telekomunikasi dan pembentungan.

BACA LAGI: PM Anwar lawat HKL, arah wad kelas tiga dinaiktaraf

“Kementerian Kesihatan mempunyai hasrat untuk memasang sistem pendingin hawa di wad-wad sedia ada. Sehubungan itu, pemasangan akan didahului dengan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal agar dapat menampung pemasangan pendingin hawa.

“Pada masa sama, kerja-kerja pemasangan kipas dan penambahan bukaan tingkap akan dibuat bagi memastikan pengudaraan di wad-wad lebih efisien untuk keselesaan pesakit dan petugas kesihatan,” katanya sambil menegaskan kementerian turut mengambil kira aspek rawatan penyakit berjangkit dan pemasangan sistem penghawa dingin di wad, termasuk wad kelas tiga. 

Related Articles

Back to top button