Ringan beban peniaga Menu Rahman, KPDN seru peniaga mohon Kad Diskaun Khas
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyedari beban dihadapi golongan peniaga untuk terus menyediakan Menu Rahmah susulan kenaikan harga barang.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, pihaknya berusaha menangani isu itu termasuk dengan memperkenal Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang menawarkan belian barang keperluan perniagaan pada harga diskaun hingga 40 peratus.
“Kita mendengar segala keluhan, dan sudah memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.
“Kad ini membolehkan peniaga berbelanja untuk semua barangan basah dan keperluan perniagaan pada harga diskaun meskipun hanya menyediakan satu Menu Rahmah di premis mereka
“Maka dengan membantu peniaga berbelanja di tujuh pasar raya yang merupakan rakan strategik KPDN, ia secara tidak langsung membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI dan pembukaan D’Mart Segi Fresh di Felda Jengka Tiga, di Maran pada Sabtu.
BACA LAGI: KPDN umum berita gembira untuk pengusaha Menu Rahmah
Sementara itu jelasnya, masih ramai peniaga tidak menyedari kewujudan kad diskaun itu walaupun sudah dilancarkan sejak November tahun lalu.
Justeru beliau menyarankan golongan itu membuat permohonan tambahan lagi syarat ditetapkan kini sudah diloggarkan.
“Sebelum ini, syarat permohonannya mungkin agak ketat… sebagai contoh, peniaga perlu berniaga selama enam bulan. Namun kini, kita telah longgarkan bagi memudahkan perniagaan mereka,” jelas Fuziah.