Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: KEADILAN perlu introspeksi, juarai hati rakyat

Ada hikmahnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) kalah dalam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ada kira-kira tiga tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk KEADILAN khususnya memperbaiki strategi dan naratifnya.

Saya datang membantu kempen pada hari Khamis dan Jumaat minggu pertama kempen. Berceramah di sebuah Ceramah Umum di sebuah kampung di Sungai Buaya. Sambutan dingin. Kami berceramah di hadapan penyokong sendiri dari PH terutamanya anggota KEADILAN. Hampir semuanya orang luar bukan penduduk tempatan. Bukan pengundi.

Saya cuba menyokong calon PH dan menyokong Kerajaan Perpaduan dalam isu perlaksanaan subsidi diesel bersasar. Ceramah saya hambar. Saya lihat penyokong PH sendiri pun kelihatan defensif dalam isu subsidi diesel itu.

NARATIF

Saya lihat KEADILAN kalah di Sungai Bakap dalam isu naratif nasional.

Hari mengundi 6 Julai. Dua hari sebelum itu pada 4 Julai dibentangkan di Parlimen Laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek-projek syarikat kerajaan.

Antaranya penyelewengan dan ketirisan berbilion ringgit itu berlaku pada masa kerajaan sekarang. Mudah sahaja rakyat di Sungai Bakap menyimpulkan bahawa tiada ada beza kerajaan sekarang dengan kerajaan- kerajaan yang terdahulu.

Calon KEADILAN di Sungai Bakap ini seorang calon yang bersih, berintegriti, dengan kelulusan yang tinggi dan layak menjadi wakil rakyat yang baik. Saya sempat bertemu Dr Joohari Ariffin pada pagi Jumaat 28 Jun di Bilik Gerakan Daerah Mengundi Sungai Kechil.

Malang sungguh kepada calon KEADILAN pertama kali itu terpaksa memikul dosa KEADILAN yang dikatakan telah memungkiri janji reformasi mereka, sehingga NGO BERSIH memberi grade F kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh KEADILAN.

Bukan salah Anwar Ibrahim. Bukan salah Ahmad Zahid Hamidi. Bukan salah UMNO dan juga bukan salah KEADILAN serta PH apabila mereka terpaksa bergabung dalam Kerajaan Perpaduan yang juga ada nama keduanya iaitu Kerajaan Madani. Anwar, Zahid, PKR, PH, UMNO dan BN semuanya jadi mangsa keadaan. Tiada jalan lain. Suka tak suka sebuah kerajaan mesti ditubuhkan untuk mentadbir negara.

Tetapi bagi ramai rakyat, baik Melayu atau bukan Melayu; sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam mereka beranggapan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan walaupun pragmatik tetapi mereka menganggap ia adalah politik reform yang songsang.

Jadi tidak hairan jika pengundi-pengundi di saluran 5, 6 dan 7 yang terdiri pengundi-pengundi di PRK Sungai Bakap menolak calon KEADILAN dari PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

ISU EKONOMI

Jelas sekali bahawa KEADILAN dan PH kalah di Sungai Bakap kerana isu ekonomi.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ke-6 kalah dalam PRU14 pada Mei 2018 kerana isu GST dan 1MDB.

Kali ini di PRK Sungai Bakap, KEADILAN dan PH yang mewakili Kerajaan Persekutuan kalah dengan isu perlaksanaan subsidi bersasar diesel.

Secara objektif, saya secara peribadi bersetuju dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa usaha mengukuhkan ekonomi adalah langkah tepat. Perlaksanaan subsidi diesel secara bersasar walaupun tidak popular tetapi adalah dasar yang betul dan bertanggungjawab.

Tetapi penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon KEADILAN. Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.

Naratif politik pun tidak begitu baik apabila subsidi diesel ditarik balik sebahagiannya selepas langkah kerajaan menaikkan cukai SST dari 6 kepada 8 peratus bagi sesetengah barang.

Fitrah rakyat di mana-mana negara sekali pun mereka tak suka jika subsidi untuk rakyat dikurangkan atau dihapuskan atau cukai dinaikkan.

Dasar- dasar mengenai cukai dan subsidi ini diputuskan di Putrajaya tetapi kesan yang terpaksa dipikul ialah kekalahan calon KEADILAN di Sungai Bakap.

MELAYU ISLAM

Daripada segi politik orang Melayu dan Islam, nampaknya KEADILAN dan PH juga kalah daripada segi naratif dan optik.

Langkah berani dan lantang Perdana Menteri di persada dunia antarabangsa membela rakyat Palestin di Gaza, buat satu jarak waktu telah memperkukuhkan kedudukan Anwar Ibrahim di mata rakyat Melayu Islam di Malaysia yang mempunyai hubungan emosi, sentimen dan solidariti dengan umah Islam di Palestin, mulai runtuh dan lebur apabila Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia serta Pengerusi Khazanah Nasional telah bersetuju menjual sebahagian saham MAHB kepada syarikat GIP dari Amerika Syarikat yang dikuasai oleh BlackRock sebuah syarikat pelaburan antarabangsa Amerika Syarikat yang kuat menyokong kerajaan zionist Israel yang melancarkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.

Dengan pelbagai sebab dan antaranya seperti apa yang saya senaraikan di atas, mungkin menjadi alasan mengapa calon KEADILAN tewas di PRK Sungai Bakap.

Jika Kerajaan Perpaduan sekarang khususnya KEADILAN dan PH tidak membina naratif nasional yang betul bukan sekadar bercakap sahaja tetapi dengan perbuatan, di mana rakyat boleh melihat di atas meja rumah mereka sudah ada beras putih tempatan yang mampu dibeli dengan harga berpatutan dan kos sara hidup seharian semakin ringan dan mudah sehingga rakyat boleh menarik nafas lega.

Apabila inflasi menurun, gaji pekerja bertambah naik, maka ketika itu mungkin sebahagian besar rakyat khususnya golongan B40 dan M40 akan mengambil sikap lebih mesra dan memihak kepada KEADILAN, PH, Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani.

KEADILAN khususnya ada masa tak sampai tiga tahun sahaja lagi untuk mengelakkan Anwar menerima nasib yang sama seperti Perdana Menteri Rishi Sunak di United Kingdom yang tewas dalam pilihanraya pada Jumaat 5 Julai lalu.

Penulis ialah Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Articles

Back to top button