Politik

Pemimpin boleh pilih untuk jadi negarawan mahupun politikus murahan – Taufiq Johari

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, tampuk kepimpinan negara kini diwariskan dalam keadaan ekonomi yang tenat hasil tadbir urus tidak cekap oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, pemimpin kerajaan semasa boleh memilih untuk menjadi negarawan atau politikus murahan.

“Mudah untuk sajikan perkara yang populis dan menang sementara tapi tidak mudah untuk melakukan perkara yang benar demi kesejahteraan jangka masa panjang negara. Jika kalah PRK merupakan harga yang harus dibayar (gabungan perpaduan), maka kita terima dan muhasabah diri demi kepentingan rakyat dan negara. Terus perkukuh kepercayaan dan perhebat penjelasan (dasar kerajaan) kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Taufiq berkata, dasar yang dilaksanakan Putrajaya mungkin tidak membuahkan hasil dalam tempoh sehari dua, tetapi beliau percaya kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Hasil akhir daripada segala usaha ini (suatu hari) akan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya dan ketika itu rakyat mula menilai (kerajaan perpaduan) berdasarkan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyindir ‘raja formula’ yang merujuk kepada Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dan mengucapkan tahniah kepada penduduk Sungai Bakap kerana menolak Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Taufiq tampil mempertahankan Rafizi berikutan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap yang dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan Langkah penyasaran subsidi diesel.

Sebagai respons, beliau menggesa Akmal supaya lebih matang dan ikhlas dalam hubungan kerjasama Barisan Nasional dan PH demi kepentingan rakyat.

Related Articles

Back to top button