Semasa

Penguatkuasaan tegas bakal dilaksana, kurangkan faktor berlaku kemalangan – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksana penguatkuasaan lebih tegas dan proaktif bagi mengurangkan faktor yang boleh mendorong berlakunya kemalangan.

Menerusi satu kenyataan, agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan itu berkata, pihaknya akan melaksana beberapa inisiatif untuk memastikan pengguna mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Antara yang akan dilaksana adalah memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kesalahan- kesalahan yang mengakibatkan risiko kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

“Pegawai penguatkuasa akan meningkatkan pemeriksaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik, terutamanya di lebuh raya dan kawasan dengan kadar kemalangan tinggi.

“JPJ mengambil pendekatan dengan memperbanyakkan penguatkuasaan secara digital dan mengkaji penggunaan teknologi Artificial intelligence (AI) dalam penguatkuasaan bagi mengesan pesalah trafik dengan lebih efektif,” kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Aedy Fadly Ramli.

Dalam pada itu beliau berkata, JPJ terus berusaha memperkukuh kerjasama dengan syarikat pengangkutan dan persatuan industri untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan jalan raya. Dengan langkah-langkah yang lebih ketat terhadap kenderaan komersial, seperti bas dan lori

Pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya selain memastikan bahawa semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Pemeriksaan berkala dan pemeriksaan keselamatan yang ketat akan diteruskan, terutamanya untuk kenderaan awam dan komersial.

Sementara itu JPJ turut mengingatkan orang ramai bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. sehubungan itu orang ramai diseru menjaga keselamatan dengan mematuhi peraturan jalan raya dan berkelakuan bertanggungjawab semasa berada di jalan raya.

JPJ akan terus memperkukuh usaha-usaha penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan jalan raya di Malaysia lebih selamat untuk semua.

“Kami bertekad untuk mengurangkan kadar kemalangan dan mencipta persekitaran yang lebih selamat bagi generasi akan datang.

“JPJ juga akan melancarkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya,” tambah kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button