Selangor anjur simposium, perkasa industri kreatif golongan muda
Kerajaan Negeri Selangor bakal melaksana Simposium Industri Kreatif pada tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif, Najwan Halimi.
Najwan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Jumaat berkata, ia bagi merangka pelan hala tuju sektor itu.
“Kerajaan Negeri menyedari industri kreatif ini dapat membuka peluang kepada kelompok masyarakat termasuk generasi muda untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni reka atau seni budaya.
“Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai bentuk program, latihan, promosi serta geran bantuan bagi menggalakkan dan menyokong usahawan industri kreatif di Selangor termasuk usahawan belia,” jelas ADUN Kota Anggerik itu.
Sebagai rekod, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi memperkasa industri ekonomi kreatif di Selangor.
BACA LAGI: Elak ketirisan, industri kreatif diseru ambil manfaat dari Belanjawan 2024
Sementara itu menurut Najwan, selain simposium, kerajaan negeri juga jelasnya terus menyokong usahawan industri kreatif termasuk melalui pelaksanaan program Pembangunan Usahawan Muda (SAY Belia) dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) pada 2024.
Program selama enam bulan itu memberi fokus kepada usahawan belia yang memerlukan bimbingan untuk membangunkan perniagaan termasuk usahawan industri kreatif.
“Kerajaan Negeri merancang bekerjasama dengan institut pengajian tinggi bagi menggalakkan dan memberi bimbingan kepada mahasiswa membangun dan menguruskan perniagaan,” tambah Najwan.