Sabah tidak boleh ketinggalan, hak asasi rakyat tetap diberi keutamaan – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan Sabah mesti terus dipacu dan dilonjak supaya potensi negeri terus diberi tumpuan serta dikembangkan demi kesejahteraan rakyatnya.
Beliau berkata, penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri ini tertangguh, manakala Projek Hidroelektrik Ulu Padas pula adalah bagi menjamin hak asasi seperti bekalan air dan elektrik dapat dinikmati oleh penduduk di Sabah.
“Projek ini pasti akan memberi manfaat yang baik kepada negeri selain melonjak pertumbuhan sosioekonomi rakyat.
“Aliran air yang bersih dan stabil sejumlah 6000 juta liter sehari dijangka akan dihasilkan empangan ini kelak.
“Saya turut menegaskan bahawa projek ini akan terus dipantau pihak saya dengan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berjalan dan siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi dan mempertahan keputusan kerajaan untuk memberi peruntukan terbesar kepada Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024.
“Ini kerana Sabah sedikit ketinggalan dalam aspek hak asasi seperti air, elektrik dan jalanraya ketimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung meski negara telah capai kemerdekaan lebih enam dasawarsa.
“Saya hairan mengapa pihak-pihak ini mempersoalkannya serta apakah mereka tidak sedar akan keperluan mendesak di negeri Sabah yang sekian lama dipinggirkan,” katanya.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub dan ADUN Kemabong, Rubin Balang.
Baca lagi: