Anwar

Selangor jadi negeri pertama anjur Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI Januari tahun depan – PM Anwar

Selangor akan menjadi negeri pertama yang dipilih untuk menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI Januari tahun depan dalam usaha menyalur dan menyampaikan maklumat berkaitan kerajaan secara menyeluruh kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusinya, rakyat juga diberi peluang untuk mengusulkan cadangan serta penambahbaikan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan.

“Oleh kerana kejayaan yang kita saksikan tiga hari ini, maka kita akan turunkan dengan kemudahan yang sudah disiapkan, bulan Januari, MB Selangor setuju supaya kita mulakan laporan ini di negeri Selangor dan secara berikutnya pindah ke negeri lain dengan kos lebih rendah sebab kita siapkan laporan yang sama dengan mungkin sedikit penambahan dari kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutup Program karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI di Bukit Jalil, ibu negara.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri kabinet lain.

Katanya, melalui program berkenaan, dasar kerajaan seperti ekonomi MADANI, peralihan tenaga, transformasi digital dan Pelan Induk Perindustrian itu untuk dibentangkan bukan hanya paparan di atas kertas saja.

“Hari ini dan hari sebelumnya (sejak Jumaat) rakyat boleh melihat sendiri apakah pelaksanaan (pencapaian),” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan memerlukan ruang untuk melaksanakan sebarang anjakan paradigma dan perubahan dalam memastikan setiap program yang dirancang berjaya sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya sebut tidak semua di tahap memuaskan tetapi ada ruang untuk perbaiki dan mulakan dengan anjakan yang paradigma bermakna di beberapa tempat anjakan paradigma itu mudah bunyinya, anjakan paradigma bukan sikit tetapi ia bererti keberanian dan kesungguhan supaya negara dan rakyat memperoleh manfaat,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button