Negeri

Peruntukan RM95.7 juta kepada JAIPk bukti kerajaan lihat kepentingan pegurusan agama

Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), akan memanfaat RM15 juta daripada peruntukan dalam Belanjawan Perak 2024 untuk tujuan baik pulih rumah ibadat orang Islam yang berada dalam keadaan daif di negeri itu.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abd. Halim berkata, dianggarkan terdapat sebanyak 707 buah masjid dan lebih 2,000 buah surau di Perak yang sentiasa memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih.

Bagaimanapun, pihaknya sedang meneliti masjid dan surau seluruh negeri yang benar-benar layak menerima peruntukan berkenaan.

Justeru, JAIPk jelasnya menggalakkan masjid dan surau yang memperoleh kutipan derma melebihi RM100,000 agar memberi laluan kepada rumah ibadat Islam yang benar-benar memerlukan peruntukan baik pulih.

“Memang terdapat masjid-masjid dan surau yang terlampau daif selain kutipan Jumaatnya hanya ratusan ringgit sahaja dan saya rasa itulah yang lebih baik diutamakan untuk baik pulih.

“Manakala masjid yang kutipan Jumaat yang menjangkau ratusan ribu ringgit sebulan bolehlah memberi ruang kepada yang memerlukannya,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim anjuran Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) di Ipoh pada Isnin.

Kerajaan negeri Perak pada 1 Disember lalu mengumumkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan RM95.7 juta bagi pengoperasian JAIPk dalam usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan ummah terus diperkasakan di negeri ini.

BACA LAGI: Dr Hamdan sifatkan belanjawan Selangor 2024 cakupi segenap aspek

Harith Fadzilah sementara itu menyifatkan peruntukan besar itu membuktikan bahawa kerajaan negeri dibawah Kerajaan Perpaduan melihat kepentingan pengurusan agama terutamanya masjid dan surau.

“Alhamdulillah kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah memperuntukkan sejumlah besar bajet khususnya kepada pengurusan JAIPk.

“Peruntukan ini melibatkan pengurusan yang banyak seperti sekolah agama rakyat, sekolah pondok serta tahfiz di mana ada banyak tanggungan yang perlu kita selesaikan dan ia akan diturunkan kepada yang sepatutnya menerima peruntukan itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button