Nasional

Sedia bangkit semula galas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui dirinya sudah bersedia untuk menggalas semula tanggungjawab tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kepercayaan tersebut kepadanya untuk mengendalikan kementerian itu sekali lagi.

“Dua belas bulan rehat yang baik atau seakan terhenti. Sedia untuk bangkit semula,” katanya menerusi ciapan di X pada Selasa.

Dzulkefly sebelum ini menyandang jawatan sama dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Untuk rekod, Dzulkefly, yang juga Pengarah Strategi AMANAH berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum berlaku Langkah Sheraton, iaitu kerajaan ditumbangkan menerusi peralihan sokongan Ahli Parlimen.

Selepas Kerajaan Perpaduan memerintah pada November 2022, Dr Dzulkefly tidak dilantik ke dalam Kabinet.

Terdahulu, Anwar berkata pengalaman Dr Dzulkefly diperlukan untuk menerajui semula Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan terbeban banyak masalah, sebahagian diwarisi, sebahagian memenuhi tuntutan rakyat untuk kesihatan lebih baik. Kita harap dia dapat jalankan tugas dengan baik.

“Pengalaman dia diperlukan. Saya percaya dia boleh beri fokus lebih kukuh di kementerian,” kata Anwar pada sidang media selepas pengumuman rombakan Jemaah Menteri.

Dr Dzulkefly dilantik menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button