Dasar Pandang Ke Timur perlu termasuk China – PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu bersikap terbuka untuk menjadikan China sebagai contoh model pembangunan ekonomi, selain Jepun dan Korea.
Beliau berkata begitu kepada akhbar Jepun, Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo pada 17 Dis sebagai mengulas Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan Perdana Menteri keempat pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.
“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.
“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” katanya.
Melalui temu bual itu juga, Anwar berkata, teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.
BACA LAGI: Malaysia komited, hargai kerjasama strategik dengan China
Sementara itu menurut laporan sama Anwar menyifatkan Jepun sebagai “rakan strategik yang sangat penting”, sambil menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi.
Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Dis mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (AS$2.82 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.
Anwar menekankan bahawa peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi keselamatan perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar.