ekonomi

Kerajaan teruskan langkah konsolidasi fiskal , pastikan kewangan kukuh – MoF

KERAJAAN PERPADUAN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi memastikan kedudukan kewangan kukuh.

Usaha kukuh kewangan negara diteruskan

Kementerian Kewangan (MoF) melalui jawapan bertulis pertanyaan lisan 13 Jun yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Jumaat berkata, kerajaan menggunakan pendekatan membuat pembiayaan semula hutang yang matang menerusi pinjaman baharu dalam usaha mengimbangi kemampuan kewangan supaya terus kekal kompetitif.

“Bagaimanapun, bagi memastikan paras hutang terkawal dan terurus, beberapa langkah kawalan perlu dipatuhi dalam usaha menyelesaikan peningkatan paras hutang,” katanya.

Melalui jawapan sana, MoF berkata, selain meneruskan langkah konsolidasi fiskal, kerajaan juga memperluaskan asas hasil dan memastikan kutipan hasil mampan dengan perbelanjaan mengurus dibiayai sepenuhnya melalui hasil negara dan kerajaan mempunyai lebihan baki semasa yang dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan.

“Kerajaan juga akan memastikan bayaran khidmat hutang terkawal dan tidak melebihi 15 peratus daripada hasil dan pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang,” kata MoF.

Sementara itu jelas kementerian, kerajaan turut menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara off-budget dengan menumpukan kepada projek bersifat mega dan projek-projek yang memerlukan aliran tunai yang tinggi setiap tahun.

Dalam usaha mengawal paras liabiliti pula kerajaan akan mengehadkan pemberian jaminan yang pada akhirnya meningkatkan komitmen kewangan kerajaan.

“Kerajaan juga sedang menambah baik pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta (PPP) melalui pendekatan model PPP 3.0 dan akan mewujudkan satu platform single window bagi meneliti projek PPP baharu.

“Platform ini akan diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bersama dengan Kementerian Ekonomi supaya kelulusan projek adalah selaras dengan perancangan pembangunan dan dibiayai menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sedia ada,” kata kementerian itu dipetik laporan Awani.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button