Mula program TVET seawal Tingkatan Empat memadai ketika ini – PM Anwar
Cadangan agar pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilaksana di sekolah diadakan sebelum Tingkatan Empat masih dalam perbincangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam sesi dialog selepas merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di Kuala Lumpur pada Jumaat beliau berkata, pelaksananya sekarang sudah memadai berikutan kapasiti program itu terbatas.
“Laporan Jawatankuasa Kabinet setuju peringkat ini selepas (adalah) selepas Tingkatan Tiga. Untuk nak ke bawah lagi tu memang dalam perbincangan sebab ada implikasi lain .
“Saya ingat permulaan satu ke dua tahun ini cukup dan memadai,” katanya.
BACA LAGI: PM Anwar gesa KPT bertindak pantas lakukan perubahan dasar pendidikan tinggi
Wacana Strategi KPT selama dua hari itu bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik, mencadangkan program atau inisiatif, serta membincangkan isu strategik berkaitan kementerian berkenaan serta cadangan penyelesaian bagi tahun ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud
Anwar sebelumnya menjawab soalan dikemukakan seorang peserta yang mencadangkan keperluan program TVET dilaksanakan bermula dari sekolah rendah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi bidang berkenaan.