Anwar

PM Anwar ulangi ketegasan tidak kompromi soal rasuah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak berkompromi soal rasuah biarpun membabitkan penyokong kerajaan atau blok pembangkang.

Anwar mahu badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap individu berpengaruh termasuk tokoh besar sekiranya terdapat data, fakta dan alasan kukuh.

“Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) tahu di dalam Jemaah Menteri, yang kalau di bawah pentadbiran saya, kalau orang beritahu ada kes rasuah, percayalah saya tidak ada bertolak ansur sama sekali.

“Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM) tahu benar pendirian saya, sama ada dia (perasuah) dari pihak parti yang menyokong saya atau menentang, itu soal lain, ia tidak mempengaruhi keputusan.

“Saya agak keras hal ini, kalau kita tidak mula dengan berani, tidak mungkin kita selamat negara ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tata Kelola Nasional oleh YAB Perdana Menteri, di Sepang, hari ini.

Jelasnya, kelesuan dan kebisuan golongan elit dalam kalangan segelintir ahli politik, pihak pentadbiran dan universiti untuk menangani serta mengambil tindakan terhadap isu rasuah menyebabkan ia berleluasa dan menjadi skandal skala besar.

“Saya anggap langkah pelancaran (Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023) sangat penting kerana beri mesej jelas kepada Jemaah Menteri, pimpinan pentadbiran, pimpinan seluruh syarikat terutama syarikat kerajaan yang tidak boleh anggap mereka punyai ruang dan wewenang untuk berbelanja sesuka hati tanpa beberapa peraturan ketat.

“(Malah ia) dipantau dengan lebih teliti oleh bukan sahaja Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan sekarang Unit Pantau MADANI untuk pastikan apa diputuskan dalam arahan ini dipatuhi dan dilaksanakan, dan harus ada tindakan yang tegas dan keras sekiranya ada sebarang kecuaian,” katanya.

Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 dilancarkan Anwar hari ini untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan amalan nilai sebagai budaya kerja perkhidmatan awam.

Empat terma rujukan digariskan dalam arahan berkenaan iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-Undang, Sistem dan Prosedur Kerja, Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik.

Related Articles

Back to top button