Global

Gunung berapi Semeru paling aktif di Indonesia meletus lagi

Gunung Semeru yang terletak di daerah Malang dan Lumajang, Wilayah Jawa Timur meletus dan menyemburkan debu volkanik setinggi lebih kurang 600 meter di atas puncak gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa itu.

“Letusan berlaku pada pukul 5.59 pagi. Debu volkanik putih dengan intensiti sederhana menuju ke utara,” kata Petugas Pos Pemantauan Gunung Semeru, Liswanto dalam laporan yang diterima di Jakarta, pada Jumaat.

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) menyeru penduduk sekitar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tenggara sepanjang Besuk Kobokan sejauh 13 kilometer dari pusat letusan.

Dalam lingkungan ini, orang ramai juga tidak dibenarkan melakukan aktiviti pada jarak 500 meter dari tebing sungai (sempadan sungai) di sepanjang Besuk Kobokan, kerana dikhuatiri terjejas dengan aliran awan panas dan lava sehingga sejauh 17 kilometer dari puncak.

PVMBG turut merayu orang ramai supaya tidak bergerak dalam lingkungan lima kilometer dari puncak Gunung Semeru kerana terdedah kepada bahaya batuan gunung berapi.

Pada 1 Februari 2024, Gunung Semeru direkodkan mengalami 79 letusan gempa bumi dengan amplitud 10 hingga 23 milimeter dan tempoh gempa antara 55 hingga 181 saat.

Sepanjang tahun 2023, Gunung Semeru adalah gunung berapi yang paling aktif meletus di Indonesia dengan jumlah letusan direkodkan sebanyak 29,131 kali.

Tahap aktiviti semasa Gunung Semeru adalah pada tahap tiga atau berjaga-jaga setakat 16 Disember 2021.

Related Articles

Back to top button