Puspanita sebagai ‘jambatan’ penghubung sektor kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat
Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) memainkan peranan besar kepada sektor kerajaan yang bertindak sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dengan pihak bukan kerajaan dan masyarakat melalui pelaksanaan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, meminta Puspanita menjadi pelengkap kepada sektor kerajaan dalam menyantuni rakyat melalui penganjuran program-program kemasyarakatan.
Katanya, dengan mengadakan program seperti pemberian bantuan dan sumbangan kepada golongan rentan dan terpinggir.
“Peranan wanita penting dan relevan kepada negara apabila sebilangan besar wanita berperanan sebagai pemimpin dalam pelbagai profesion, sama ada di dalam sektor swasta mahupun awam termasuk di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa ini,” kata beliau dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Puspanita Cawangan Kecil (PCK) JPA tahun 2024.
Wan Ahmad yang juga Penasihat PCK JPA berharap organisasi berkenaan akan terus aktif dan kreatif dalam menganjurkan pelbagai inisiatif dan program secara kerjasama strategik yang dapat memberikan manfaat kepada anggotanya serta menyantuni masalah masyarakat.
PCK JPA mempunyai peranan yang sangat besar dalam merencanakan program melibatkan warga kerja JPA dan memberi manfaat kepada anggotanya.
Pada masa yang sama, Pengerusi PCK JPA, Datin Seri Dr Azlifah Bahari menyeru semua ahli persatuan berkenaan meneruskan komitmen dan kerjasama untuk meningkatkan
kecemerlangan, imej dan prestasi.
“Saya berharap semua perancangan aktiviti yang dipromosikan secara meluas dapat membina persepsi positif serta membentuk keterlihatan yang lebih jelas di mata ahli Puspanita khususnya dan penjawat awam amnya,” katanya.
Terdahulu, Azlifah turut merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat JPA sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024 yang bertemakan ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’.
Puspanita berperanan untuk memberikan sokongan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan wanita dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, ekonomi, dan sosial yang akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesejahteraan wanita.