JAWI tidak kompromi kes khalwat pasangan pelakon Aliff Aziz, Ruhainies
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak berkompromi dalam soal tangkapan khalwat membabitkan pasangan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian yang berlaku di sebuah kondominium mewah, Sabtu lalu.
“Proses siasatan dilaksanakan sebagaimana kelaziman berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di Bahagian Penguatkuasaan JAWI.
“Setakat ini, JAWI dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan akan dipanjangkan ke Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kenyataan itu susulan timbul dakwaan yang mana JAWI seolah-olah melambatkan proses pendakwaan itu.
Malah, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat jika kes itu terlepas disebabkan pasangan itu adalah ‘public figure’.
Mohd Na’im menegaskan perbuatan maksiat tetap maksiat dan ia sama sekali tidak boleh dipromosikan, selain berkhalwat juga adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Menurutnya, bahagian penguatkuasaan JAWI akan melakukan tindakan secara bebas dan adil berdasarkan aduan diterima selepas melakukan siasatan dan mendapati ia berlaku seperti dilaporkan serta akan melakukan tangkapan.
Pada Rabu, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 29, akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai dengan suaminya aktor Aliff Aziz, 33, selepas lelaki itu sekali lagi terpalit dengan kes khalwat pada minggu lalu.
Bella memfailkan penceraian terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan ditemani oleh ibunya, Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.
Bagaimanapun, sebutan pertama kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana Aliff tidak menghadirkan diri di mahkamah.
Menurut peguam yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais, sebutan semula kes berkenaan akan diadakan pada 4 April hadapan.