Nasional

KPM ambil inisiatif perluas ambilan calon guru tajaan, ikuti latihan pra perkhidmatan PISMP

Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil inisiatif memperluaskan pengambilan calon guru tajaan kementerian itu bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai ambilan tahun ini.

KPM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan ia diperluaskan kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

Menurutnya, ini bagi membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP, sekali gus dapat memastikan calon terbaik dipilih bagi mengikuti program itu.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru selain memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi.

Terdahulu, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil perhatian isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta dakwaan kesilapan data rasmi KPM seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

Related Articles

Back to top button